Pada tahun 1965, lahirlah sebuah sekolah menengah di pekan Paloh
dengan nama Sekolah Menengah Rendah Inggeris. Pada masa itu Sekolah
Menengah Rendah Inggeris tidak mempunyai bangunan sendiri. Oleh itu
pelajar-pelajar Sekolah Menengah Rendah Inggeris ditempatkan di Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Paloh. Pada tahun 1965, En. Gan Boon Chin
menjadi pemangku pengetua Sekolah Menengah Rendah Inggeris. Menjelang
tahun 1966, bilangan pelajar meningkat dan dua buah kelas ditempatkan di
Dewan Orang Ramai Paloh.
Pada 9 Januari 1967,
pentadbiran Sekolah Menengah Rendah Inggeris diambil alih oleh pengetua
baru, En. Yap Yoon Chin. Pada masa itu bilangan pelajar meningkat dari
68 orang kepada 209 orang pelajar. Pada tahun 1968, sebuah bangunan baru
dua tingkat siap dibina untuk mengatasi bilangan pelajar yang semakin
bertambah. Bangunan ini disertai dengan 8 buah kelas, sebuah kantin dan
sebuah pejabat.
Pada tahun 1968, kumpulan pelajar
pertama telah menduduki peperiksaan LCE. Pada tahun yang sama juga
bangunan sekolah ini dirasikan oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Yang
Berhormat Encik Khir Johari. Perkembangan yang menggalakan ini
menyebabkan pertumbuhan persatuan-persatuan dan badan beruniform.
Pada tahun 1971, sukan tahunan Sekolah Menengah Rendah Inggeris yang
pertama disambut dengan penuh meriah. Apabila bilangan pelajar
meningkat, satu lagi projek pembinaan bangunan tambahan telah dibiayai
oleh kerajaan. Pada tahun 1973 Sekolah Menengah Rendah Inggeris ditukar
nama kepada Sekolah Menengah Paloh. Pada tahun yang sama bahasa
pengantar ditukar kepada Bahasa Malaysia. Pada tahun tersebut juga
Sekolah Menengah Paloh telah mendapat keputusan LCE yang cemerlang dan
berjaya mendapat tempat kedua di seluruh negeri Johor.
Pada tahun 1983, En. Abdul Shukur bin Abdullah dilantik sebagai
Pengetua Sekolah Menengah Paloh. Pada masa itu bilangan pelajar telah
meningkat kepada 1328 orang dengan 38 buah kelas serta 3 kelas terapung.
Untuk menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat sebuah lagi
bangunan baru dibina. Pada tahun 1984, Sekolah Menengah Paloh membuka
kelas jurusan sains tulen untuk menampung bilangan pelajar yang semakin
iaitu 1467 orang pelajar. Pada tahun 1984, terdapat seramai 57 orang
tenaga pengajar dan 14 orang kakitangan bukan guru. Pada tahun 1986, En
Effendy bin Abdullah menggantikan En. Abdul Shukur bin Abdullah sebagai
pengetua baru.
Pada 1 Febuari 1988, Sekolah Menengah
Paloh dinaikkan taraf sebagai sekolah gred A. Pada tahun yang sama, En.
Mokhtar bin Siran telah dilantik menjadi pengetua yang keempat.
Kenaikan taraf sebagai sekolah gred A merupakan satu penghormatan kepada
masyarakat Paloh.
Pada tahun 1990, sebuah lagi
bangunan baru telah dibina bagi menampung bilangan pelajar yang semakin
meningkat. Blok yang dikenali sebagai blok gotong royong ini mempunyai 5
buah kelas.
Pada tahun 1991, selain jumlah pelajar
meningkat, Sekolah Menengah Paloh telah menunjukkan pencapaian yang baik
dalam peperiksaan SRP dan SPM. Pada tahun yang sama sebuah lagi
bangunan baru telah dibina. Bangunan 3 tingkat ini mempunyai 12 kelas
dan 3 makmal sains.
Pencapaian Sekolah Menengah
Paloh dalam 30 tahun amat membanggakan. Sekolah Menengah Paloh telah
melahirkan generasi muda yang berpendidikan. Ramai pelajar Sekolah
Menengah Paloh telah pun berjaya dalam pelbagai kerjaya. Yang Berhormat
En. Hoo Siong Chan, Ahli Parlimen kawasan Paloh adalah salah seorang
bekas pelajar Sekolah Menengah Paloh yang disegani dan dihormati.
Selain itu, Sekolah Menengah Paloh juga telah mencungkil bakat yang
tersembunyi pada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Paloh. Ramai pelajar
telah berjaya dalam bidang sukan di peringkat daerah, negeri dan
kebangsaan. Loo Mei Yin, pemain bola tampar Sekolah Menengah Paloh telah
mengharumkan nama baik sekolah di arena bola tampar di peringkat
antarabangsa.
Walaupun Sekolah Menengah Paloh
terletak di kawasan yang agak jauh dari bandar tetapi ia berpotensi
untuk membentuk insan yang mulia dan berjaya. Ramai pelajar Sekolah
Menengah Paloh berasal dari kawasan pendalaman seperti kampung dan
ladang tetapi ini tidak menjadi masalah untuk berjuang demi kejayaan
pada masa hadapan.
Sekolah Menengah Paloh adalah
sebuah sekolah yang memberi banyak sumbangan kepada penduduk Paloh
terutamanya kepada para pelajar. Ia menjadi tulang belakang bagi
kejayaan dan pencapaian para pelajar.
No comments:
Post a Comment